Sejarah Skop Production Sdn Bhd

Skop Productions ditubuhkan pada 13 Mac 1985 oleh Yusof Haslam yang ketika itu berusia 31 tahun dengan ibu pejabatnya terletak di Danau Kota, Kuala Lumpur. Syarikat ini hanya mempunyai dua kakitangan semasa awal penubuhannya. Remang-Remang Kota Raya ialah produksi sulung Skop yang bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1986.[3] Siri drama lakonan Datuk Yusof Haslam, A. Galak serta Nancy Fong dan Majed Saleh mengisahkan kehidupan seharian satu sekumpulan polis Malaysia yang menangani kes-kes jenayah terutamanya penjenayah tempatan.

Pada tahun 1991, Skop menerbitkan filem sulungnya Bayangan Maut arahan Yusof, yang turut menulis lakon layar dan berlakon. Filem yang ditayangkan pada 1 Januari 1991 yang menerima dua pencalonan di Festival Filem Malaysia ke-9 dan dipertontonkan di Festival Filem Antarabangsa Pyongyang. Ia turut melancarkan kerjaya lakonan Ratu Rock Negara, Ella.

Pada 18 Ogos 1994, syarikat ini menerbitkan filem drama percintaan, Sembilu yang mengisahkan kisah cinta antara penyanyi rock terkenal, Awie, dengan kekasihnya Wati yang dihalang oleh abang Wati. Filem ini merupakan satu kejayaan komersial dan mencipta rekod baharu industri perfileman tempatan dengan meraih kutipan tertinggi sebanyak RM4.39 juta, sekaligus melancarkan kerjaya lakonan Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain. Kesinambungannya, Sembilu II ditayangkan pada 1995 dan Tragedi Oktober pada tahun 1996.

Skop Productions bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia menerbitkan drama kepolisan Gerak Khas yang memulakan siaran di RTM sejak 4 Mei 1999, barisan pelakon asal terdiri dari AC Mizal, A. Galak, Abby Abadi, Farid Amirul, dan Deen Maidin. Gerak Khas diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai 'Drama Bersiri Paling Lama Bertahan’.[4][5]

Pada tahun 2008, Skop menerbitkan filem Evolusi KL Drift yang dikeluarkan pada 3 April. Ia menjadi filem pertama Skop di bawah arahan Syamsul Yusof dan yang pertama dalam tempoh tiga tahun. Kejayaan filem ini berserta kesinambungannya, Evolusi KL Drift 2 turut melahirkan sebuah siri televisyen adaptasi kedua-dua filem ini, Evolusi KL Drift: The Series yang disiarkan di RTM pada 2012.[6]